Tuesday, June 23, 2009

Bonda Aminah Dalam Kenangan

Salam buat semua, hari ini tepat jam 9.15 pagi bersamaan dengan 23 Jun 2009 (mengikut tahun Masihi) telah genap hampir 4 tahun Ibu tersayang meninggalkan aku, Ayahanda Haji Ahmad Sabri, adinda-adinda ku Ainul Hayali, Firhat dan Ainul Hafizah.. Waktu kurasakan berlalu dengan begitu pantas.. Rasanya, baru semalam sahaja aku baru menatap wajahnya yang bersih suci terlantar di Hospital UKM, Cheras buat kali terakhir.. Malam-malam terakhirnya di hospital itu turut ditemani oleh Ayahandaku dan sepupuku, Zuriati (Acu) yang kini bertugas sebagai Pensyarah di UiTM..


Hampir sebulan lebih sebelum pemergiannya itu, aku ada pulang ke kampung halaman di Sungai Pasu untuk menziarahinya dan aku ada bertanyakan perihal kesihatannya. Seperti biasa, ibu mengatakan dia sihat sahaja cuma kakinya agak sedikit bengkak di bahagian betis ke bawah, tapi tidak sakit..tapi agak memperlahankan gerakannya..


Sekembali aku ke Kuala Lumpur, aku terus menghubungi Pakar O&G HUKM, yang juga sahabat ku, Dr. Hatta tentang apakah maksud "symptom" yang mungkin berlaku ke atas ibuku, sebab hampir 2 tahun sebelum ini ibu telahpun menjalani rawatan akibat kanser serviks dan telahpun pulih sepenuhnya..


Walaupun aku cuma bertanyakan perkara itu kepada Doktor Hatta menerusi telefon, tetapi dari nada suaranya, beliau kelihatannya "tidak gembira" dengan perkembangan terbaru itu. "Faisal, please bring your mother to see me, soon.. I don't feel good on this..!" Aku memang maklum sangat sikap keperihatinan Doktor Pakar berkenaan terhadap ibu selama ini yang dilayannya seperti ibunya sendiri. Malahan, beberapa kali dia sendiri yang menunggu Ibu di depan pintu biliknya di HUKM itu..


Seminggu telah berlalu, tiba-tiba di suatu pagi,..hari itu hari Sabtu..di awal pagi itu aku mendapat mimpi yang sangat aneh. Dalam mimpi itu aku melihat Ayahanda dan Ibu sedang menunaikan Solat dan sebaik sahaja selesai Solat, kelihatannya Ayahanda bangun dan menghala keluar bilik, manakala Ibu pula berdiri dalam telekungnya dan memalingkan mukanya tepat kepadaku sambil berkata "Long, Mak nak pegi jauh ni, long jaga lah adik baik-baik..".. Masih terngiang-ngiang lagi pesanan itu di telingaku hingga ke hari ini.. Serta-merta aku terkejut dan bingkas bangun dari pembaringan dan merasa satu perasaan yang sangat aneh yang tiba-tiba muncul dalam diri..Badanku berpeluh-peluh basah..Terasa seolah-olah ada suara yang berkata "Telah sampailah masanya untuk Aku mengambil Ibumu untuk kembali kepada-Ku.." Isteriku yang berada di sebelahku turut terkejut seraya berkata "Pasal Mak ke, bang.." Paling menghairankan juga, sebab tiba-tiba isteriku juga teringatkan perkara yang sama.



Bingkas aku bangun menuju ke bilik air untuk mengambil wudhuk dan diikuti isteriku untuk menunaikan Solat Subuh berjemaah.. Begitu sukar rasanya menerima mimpi sedemikian dan kesan yang menyelinap ke dalam jiwa.. Aku gagahi juga membaca ayat-ayat suci dengan kalimah-kalimah yang pendek.. Entah mengapa jiwa terasa sedih, hiba dan sebak yang sukar nak digambarkan dengan kata-kata.. Astaghfirullahal'azim..



Selesai solat, berwirid dan berdoa, ku capai Surah Yaasin lalu mula membaca ayat demi ayat.. dan semakin di baca semakin sebak kurasakan di jiwa.. beberapa kali aku terhenti membaca ayat-ayat suci itu kerana mata yang semakin kabur dengan linangan air mata yang tak dapat ditahankan lagi.. Dapat kurasakan, seolah-olah itulah peringatan yang Allah SWT hendak maklumkan kepadaku.. Ya Allah Ya Tuhanku, adakah aku akan terpaksa berpisah dengan Ibu ku ini, terasa belum puas lagi aku hidup bersamanya..



Pagi telah menjelang, segera aku sekeluarga bertolak balik ke Raub, menghadiri kenduri kahwin anak Kak Long Mazilah (Anak Enjang Melah) di bandar Raub, sebelum terus balik ke Sungai Pasu untuk menemui Ibu dan Ayahanda tercinta.. Segera aku mendapatkan Ibu dan bersalam sambil mencium erat tangannya.. kupeluk dan kupaut erat bahunya..Terasa sangat seolah-olahnya aku akan kehilangannya buat selama-lamanya.. Berbagai perasaan bermain dibenakku pada ketika itu.. "Mak, Doktor Hatta kata Mak kena datang ke HUKM untuk pemeriksaan lanjut, ya.." "Ya lah, Mak ikut ja..". Ayahanda berjanji akan membawa Ibu ke rumahku dulu pada hari Isnin sebelum menghantar Ibu untuk pemeriksaan pada hari Selasanya itu.. Aku kembali semula ke KL pada hari Ahad keesokan harinya..


Ayahanda dan Ibu telah selamat sampai di rumahku di Bangi pada hari Isnin petang dan aku dapat melihat Ibu semakin sukar nak berjalan cepat.. Walaupun rasanya kelmarin dulu Ibu nampak masih agak segar. Namun begitu, aku cuba berfikiran positif walaupun dalam kepala ini bermacam perasaan dan persoalan bercampur-baur semuanya..


Tepat pagi Selasa itu, aku telah membawa Ibuku dengan ditemani Ayahanda bertemu Doktor Pakar di HUKM, Cheras. Setibanya di HUKM itu, jika pada kebiasaanya, Ibu mampu berjalan, tetapi kali ini, Ibu meminta aku mendapatkan kerusi roda, sebab Ibu merasa penat sangat untuk berjalan.. Hatiku semakin tidak tenteram melihatkan keadaannya.. Kulihat Ayahanda juga cuba menyembunyikan perasaan bimbang dan kerisauannya di hadapan Ibu.. Ayahanda lebih banyak berdiam diri dan bermenung..seolah-olah Ayahanda juga mengetahui "sesuatu"..



Setelah pemeriksaan dijalankan, keputusan "X-Ray" dan ujian lainnya telah diperoleh. Semasa di pejabat pada hari Rabu, aku dikejutkan dengan panggilan telefon dari Doktor Pakar HUKM.."Faisal, I hope you dapat bertenang, as I said earlier..this sympthom answers my fear about your mother's condition.. It's confirm, cancer.. second seed.. not at the place that we thought before, but at new place..paru-paru.., Ini yang paling bimbang sekali.." Terasa gelap sekejap bila dapat berita seperti tu, dan terasa "alamat mimpi" yang "diutuskan" itu semakin akan menjadi kenyataan.."Ya Allah, tabahkanlah hati hamba-Mu ini menempuh dugaan yang datang ini..Kuatkanlah hatiku, Ayahandaku dan adik-adikku menempuhnya.."


Begitulah keadaan Ibu saban hari kesihatannya semakin merosot..dan pada hari-hari Ibu di Hospital, Ibu tidak jemu meminta Ayahanda, anak-anak, menantu dan anak saudara (Zuriati), adindanya Cu Sepiah dan suaminya Pak Cu Saari agar sentiasa membacakan Surah Yaasin di sisinya.. Malahan pernah berlaku bilamana aku yang baru sahaja selesai menghabiskan bacaan Yaasin di sisinya dan menyangka Ibu telah tidur, tiba-tiba Ibu bersuara "Long, bacalah lagi Surah Yaasin tu, Mak nak dengar.." Begitulah saban hari.. Dalam keadaan Ibu diuji Allah SWT itu, begitu cekal jiwanya.. langsung tak terkeluar kata-kata yang menyesali keadaan dirinya, malahan sentiasa menasihati agar sentiasa bersyukur kepada Allah SWT.. Jiwa mana lah yang tak sayu melihatnya begitu.. Setiap orang yang datang berziarah sentiasa Ibu memohon kemaafan dan keredhaan daripada mereka sekiranya Ibu ada melakukan sebarang kesalahan dengan mereka.." Mulianya hati Ibu yang penuh dengan kesabaran..


Antara yang menjadi ingatanku dan menjadi panduan hidupku sebagai suami-isteri adalah apabila melihatkan bagaimana "intim"nya hubungan Ayahanda dan Ibu yang lebih menyerlah di saat begini.. Setiap hari, Ayahanda akan membeli akhbar dan akan membacakan berita di dalamnya kepada Ibu yang terbaring di atas katil.. Alangkah indah dan setianya kasih mereka berdua.. Itu lah juga yang menjadi bualan para Jururawat di wad berkenaan yang sangat menghormati Ayahanda dan Ibu sepanjang mereka ada di sana..Ketua Jururawat di Wad berkenaan, Kak Wan pernah memberitahuku "Kak Wan tak pernah tengok pasangan macam Ayah dan Ibu Faisal tu yang saling mengasihi dan tulus antaran satu sama lain dalam keadaan sebegini..beruntunglah dapat ibu bapa yang begitu.."


Adik-adikku yang tinggal di Raub juga turut datang berjaga silih berganti siang dan malam.. Pernah juga isteriku menampung muntah Ibu sehari sebelum Ibu pergi menemui Ilahi buat selama-lamanya.. Pada hari itu, hanya ada isteriku dan Ayahanda sahaja di sisi Ibu di HUKM..


Beberapa hari sebelum itu, Doktor turut memberitahuku dan Ayahanda bahawa mereka telahpun berbuat semampu yang boleh untuk merawat ibuku. Aku dan Ayahandaku kini pasrah dengan apa jua kemungkinan yang akan tiba..


Pernah juga Ayahanda memberitahuku sebelum ini, sebelum Ayahanda dan Ibu bertolak ke Kuala Lumpur, Ayahanda ada bermimpi yang mana dalam mimpinya itu Ayahanda sedang berjalan berdua dengan Ibu dan setibanya di satu persimpangan, Ayahanda menyedari dia hanya berjalan keseorangan..Ibu tertinggal di belakang dan tidak bersamanya lagi untuk meneruskan perjalanan..


Begitu juga semasa ingin meninggalkan rumah untuk ke KL, Ibu telah masuk semula ke dalam rumah setelah berada di dalam kereta dan berjalan-jalan sambil memandang dalam rumah itu, seolah-olah akan pergi meninggalkan rumah itu buat selama-lamanya..Ayahanda ada bertanya kepadanya, kenapa Ibu berbuat demikian, tetapi Ibu hanya diam dan tidak memberikan jawapan.. Itulah kali terakhir Ibu melihat rumah yang didirikannya hasil bersama Ayahanda juga..


Setelah hampir 23 hari menerima rawatan di HUKM, akhirnya pada pagi 23 Jun 2006, jam 9.00 pagi, Ibu telah semakin nazak dan aku diminta oleh Jururawat agar bersedia dan melafazkan kalimah Syahadah di sisi telinganya.. Ketika itu aku baru sahaja selesai membaca Surah Yaasin.. Baru sahaja untuk kali keduanya aku cuba melafazkan kalimah syahadah sambil memandang wajah suci ibuku, aku sudah tidak mampu lagi untuk meneruskan lafaz kalimah itu kerana terlalu sebak kurasakan dan air mata menitis laju di pipiku.. tak mampu lagi ditahan-tahan.. Ayahanda dan adindaku Firhat yang meneruskannya, manakala aku meneruskan dengan bacaan Yaasin hinggalah saat Ibu disahkan pergi dengan penuh ketenangan meninggalkan kami buat selama-lamanya di katil hospital HUKM itu pada jam 9.15 pagi..


Walaupun telah hampir 4 tahun Ibu meninggalkan Aku, namun setiap kali membacakan Yaasin untuk dihadiahkan kepadanya airmata ini sentiasa tak mampu ditahan-tahankan mengenangkan kasih-sayangnya yang tak berkesudahan terhadap keluarga.. Namun aku tetap gembira dan bersyukur kerana telahpun dapat menunaikan tanggungjawabku sebagai anaknya dalam menjaga dan menguruskannya sehingga ke akhir hayat.. Tanpamu Ibu, anakmu ini tidak akan mampu berdiri di dunia yang fana' ini dan tidak akan mampu mengenali Pencipta-Nya..


Apabila terkenangkan kisah yang diceritakan oleh ibuku kepada isteriku di suatu hari semasa Ibu masih di hospital, "Malam tadi Mak bermimpi, Mak di bawa ke Majlis yang besar sangat, dan Mak dilayan dengan baik sekali, diberi makan yang sedap-sedap sangat. Rasanya tak pernah Mak rasa sebelum ini sedapnya. Orang-orang yang bersama Mak pun, Mak tak kenal..". Pernah aku bertanya kepada seorang Imam Masjid dan dia berkata "Janganlah tuan bimbang, saya percaya dari kisah mimpi Ibu tuan itu, dia ditempatkan di tempat yang baik-baik. Sentiasalah berbakti dan berbuat kebajikan untuknya.."


Ya Allah Ya Tuhanku, berikanlah tawfik, hidayah, kasih-sayang dan rahmat-Mu ke atas Ibuku tercinta dan tempatkanlah dirinya di kalangan orang-orang yang Soleh. Peliharalah Ibuku ini dari 'azab api nerakamu. Sebaliknya, limpahkanlah nikmat Syurga Firdausy ke atas dirinya. Amin Ya Rabbal 'Alamin.. Insya Allah, kami semua juga akan menuruti jejakmu pada masa yang telah ditetapkan Qada' dan Qadarnya..

Bersemadilah dengan aman wahai ibuku..doa ku semoga rohmu sentiasa dirahmati Allah SWT dan berbahagia sentiasa di alam sana.. Amin Ya Rabbal A'lamin..

Al-Fatihah

Anakmu yang sentiasa mengingatimu selalu,

Abang Long

5 comments:

  1. mmg sedih kehilangan org tersayang. masa arwah bapak saya meninggal sy dan family dah pindah ker dubai. take 2 days to reach mysia sbb takde direct flight.tak sempat lihat jenazah bapak buat kali terakhir.
    tak sgka arwah tih minah dah 4 tahun takde.. sy ingat baru2 ajer.. al fatihah semoga allah tempatkan roh mereka di sisinya.
    jasa beliau tak dapat dibalas..

    ReplyDelete
  2. em..tak sedar menitis air mata baca entry pak long this time.Semoga roh wan teh dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan org2 yang beriman. Insyaallah.Al Fatihah

    ReplyDelete
  3. itulaa Nana, hidup kita di dunia ni hanya sekejap je.. buat kata orang alim, antara subuh ke isyak je.. dan kalau diertikan sehari alam akhirat itu menyamai seribu tahun dunia, maka hidup kita yg rata-rata sampai 70 tahun ini hanyalah beberapa minit je dihidupkan Allah dan dimatikan semula. Termenung juge mengenangkan agaknya kita ni cukup ke amal nak dibawa mengadap Raja segala Raja dengan amal yang terlalu sedikit dan hidup yang terlalu singkat.. Subhanallah..

    ReplyDelete
  4. Salam...ur mother is my teacher back then at Sek Temau...indeed, she is very humble and good person. Missed her....

    May Allah (swt) rest her soul in peace & place her in paradise. Al Fatihah..

    ReplyDelete
  5. Salam..its quite some time that I really do not have enough time to update my blog due to my official job constraint.. anyway.. that was a piece of recollection of fine moments that I manage to treasure all along while having her at by my side..thanks..

    ReplyDelete